14 Mei, 2020

Penasihat khas PM cadang laksana semula PKP pada hari raya


Penasihat khas perdana menteri mengenai kesihatan awam, Dr Jemilah Mahmood mencadangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semasa Hari Raya Aidilfitri sebagai langkah mencegah lonjakan kes Covid-19 di negara ini.



Beliau berkata demikian berikutan terdapat peningkatan kes Covid-19 di Korea Selatan dan Jerman.


"Sangat bimbang melihat peningkatan kes di Korea Selatan dan Jerman dan bagaimana perjumpaan berbuka puasa boleh menyebabkan maut.

"Jika kita tidak mengambil langkah untuk mencegah penyebaran (Covid-19), kita mungkin kalah daripada semua yang telah dibuat. Tuhan melarang. Mari berjaga-jaga.


"Mungkin lockdown semasa Hari Raya adalah langkah pencegahan yang baik? Mari kita laksanakannya dengan progresif, ”kata Jemilah dalam tulisan di Twitter hari ini.

Beliau juga meletakkan tanda (tag) pada akaun Twitter Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran berkenaan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yakob berkata lawatan pada Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan pesta Kaamatan hanya dibenarkan pada hari pertama dan hanya di kalangan ahli keluarga.

Jumlah maksimum tetamu yang dibenarkan sepanjang hari berkenaan adalah  seramai 20 orang.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan sehingga 9 Jun.

Beliau berkata perjalanan rentas negeri pada Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tidak dibenarkan.



Bagaimanapun orang ramai masih boleh meraikannya di kalangan ahli keluarga dan jiran terdekat yang tinggal di negeri yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari..