Halaman

17 April, 2023

Bila tarikh raya 2023?


PADA Khamis (20 April 2023) akan menentukan sama ada 32 negara akan menyambut 1 Syawal Jumaat atau Sabtu.
Ini berikutan negara-negara Eropah, Timur Tengah, Afrika, Asia dan Asia Tenggara akan mencerap anak bulan pada hari Khamis ini.
Hanya negara Pakistan dan Bangladesh akan mencerap anak bulan pada Jumaat (21 April 2023).
Ini berikutan daripada dua buah negara tersebut berpuasa lewat sehari berbanding kebanyakan negara mengikut Pusat Astronomi Dunia yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Justeru, tarikh permulaan puasa akan menentukan tarikh melihat anak bulan sama ada Khamis (20 April 2023) atau Jumaat (21 April 2023).
kemungkinan anak bulan untuk kelihatan kepada beberapa kategori.
Pertama, kemungkinan anak bulan kelihatan dengan mengunakan peralatan optik seperti teleskop.
Kedua, kemungkinan anak bulan kelihatan dengan mengunakan mata kasar dan peralatan optik.
Ketiga, kemungkinan anak bulan tidak kelihatan sama ada dengan menggunakan mata kasar atau peralatan optik.
Melalui data kedudukan anak bulan, Shawkat Audah dan Nidhal Guessoum mengunakan rujukan yang sama untuk mengetahui kebarangkalian anak bulan boleh kelihatan di sesuatu tempat atau sebaliknya.
Secara umumnya, negara-negara yang berada di sebelah barat berpeluang melihat anak bulan lebih tinggi berbanding negara yang terletak di sebelah timur.
Ini kerana bentuk sabit bulan dan kedudukan bulan lebih tinggi di atas ufuk dan lebih besar bagi negara di sebelah barat berbanding negara di sebelah timur semasa hari mencerap anak bulan.
Anak bulan di Malaysia telah berada di atas ufuk mengikut kepada kriteria yang dirujuk oleh Pusat Astronomi Dunia itu.
Namun, ia tidak memenuhi kriteria kemungkinan anak bulan untuk kelihatan sama ada dengan menggunakan mata kasar atau peralatan optik.
Sementara itu, Malaysia mengamalkan rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanurukyah (kemungkinan untuk kelihatan) MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura).
Kriteria MABIMS iaitu: “Ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah”.
Melalui data hitungan rasmi di Malaysia telah dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) anak bulan tidak memenuhi kriteria tersebut.
Oleh demikian, keputusan rukyah di 29 tempat cerapan rasmi akan menentukan Malaysia akan menyambut lebaran pada Jumaat atau Sabtu.
Pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Justeru, marilah kita menghormati proses yang ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.
Tidak perlu kita terpengaruh dengan penetapan keputusan tarikh hari raya negara luar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan