Kalau korang perasan, cuaca sekarang memang sangat panas dan berbahang, sehinggakan nak tidur malam pun berpeluh-peluh. Tambah pula di bulan Ramadan, memang menguji keimanan ketika berpuasa.
Sebelum ini page Root of Science pernah menyentuh secara ringkas tentang sains bangunan dan pengkhususan di dalam bidang seni bina yang menjadi punca kenapa rumah kita berasa panas. Remaja tertarik dengan perkongsian yang telah dibuat dan rupa-rupanya ada sebab kenapa rumah kita rasa panas.
Berikut merupakan tiga sebab utama pemanasan rumah dan strategi untuk mengatasinya;
1. Dilanda sinaran matahari secara langsung
Ada beberapa cara untuk mengatasi masalah ini dengan baik. Sinaran matahari yang terkena pada dinding rumah, lantai dan ruang dalaman rumah akan menyebabkan peningkatan suhu mendadak.
Strategi terbaik untuk mengelakkan sinaran matahari daripada memancar secara langsung di bahagian-bahagian rumah anda adalah seperti yang berikut:
• Gunakan awning
Penggunaan awning akan meredupkan bukaan tingkap atau pintu. Ia juga dapat melindungi dinding daripada menyerap haba.
• Tanam pokok sebagai teduhan
Daun yang merimbun dapat menghalang sinaran matahari dan menyejukkan persekitaran luar rumah.
• Gunakan penebat haba di bumbung
Ini kerana bumbung akan menerima sebahagian besar haba dari matahari dan akan memanaskan udara di antara bumbung dan siling rumah. Penebat haba mampu untuk mengurangkan kesan pemanasan ruang ini.
• Melapisi dinding dengan lapisan tambahan
Penggunaan material seperti lapisan komposit aluminium, veneer atau lapisan bata perhiasan.
• Cat dinding dengan warna yang cerah
Warna yang cerah akan memantulkan cahaya, sementara warna yang gelap pula akan menyerap cahaya. Apabila cahaya diserap, tenaga itu bertukar menjadi haba.
• Guna langsir, tirai atau skrin
Sama seperti awning dan teduhan pokok, langsir, tirai atau skrin juga dapat melindungi bahagian dalam rumah dan membenarkan aliran angin yang bebas.
• Menghalang bukaan yang menghadap matahari terbenam
Suhu paling panas adalah pada waktu petang antara 2pm hingga 4pm. Jadi sebaiknya, bukaan yang menghadap matahari petang dihadang bagi mengurangkan rasa rimas dan tidak selesa.
2. Tidak mempunyai pengudaraan yang baik
Untuk menangani masalah panas di dalam rumah adalah dengan memastikan semua udara panas yang terkumpul tersebar keluar dan digantikan dengan udara sejuk.
Tanpa pengaliran udara yang baik, haba ini akan terkumpul di waktu siang dan boleh berpanjangan sehingga waktu malam dan ini menyebabkan rasa tidak selesa.
Bagi mengatasi masalah ini, rumah anda patut mempunyai bukaan yang menggalakkan aliran udara masuk dan keluar seperti:
• Bukaan tingkap yang luas bagi memastikan kadar ACH (Air Changes per Hour) yang efisien.
• Aliran udara yang tidak terhad. Perabot, dinding dan langsir tebal yang merintangi penggerakan udara boleh menyekat dan membataskan pergerakan udara.
• Gunakan air well iaitu ruang vertikal yang terbuka di bahagian tengah rumah, kebiasaannya di bahagian tangga.
Ia direka bagi membolehkan udara panas bergerak ke atas dan seterusnya keluar melalui bukaan tingkap berdekatan siling rumah.
Apabila ini berlaku, udara sejuk bergerak masuk menggantikan ruang tekanan rendah yang ditinggalkan oleh udara panas.
• Gunakan kipas ekstrak di aras yang tinggi (berdekatan dengan siling) bagi membolehkan udara panas dikeluarkan dengan cepat.
• Menyeragamkan hala kipas angin berdiri. Sekiranya laluan angin datang dari hadapan rumah, maka digalakkan untuk menggunakan kipas berdiri (atau kipas meja) dan menyeragamkan hala kipas itu agar bertiup ke belakang rumah.
• Gunakan kipas siling menghala ke atas di bahagian air well. Kipas ini akan berfungsi sebagai kipas pengekstrak. Namun, kaedah ini belum terbukti sekiranya diambil kira kos elektrik yang terlibat.
3. Kesan Urban Heat Island (UHI)
UHI adalah situasi di mana sesuatu kawasan bandar mengalami taburan suhu yang lebih tinggi dari persekitaran luar bandar. Perbezaan suhu ini terjadi apabila kawasan bandar yang dibangunkan mempunyai elemen-elemen yang memerangkap atau menjana haba yang berterusan.
Contohnya, permukaan berwarna gelap seperti jalan raya menyerap lebih banyak radiasi matahari. Oleh kerana kawasan bandar mempunyai lebih banyak rangkaian jalan raya yang berselirat, ini menyebabkan luas kawasan yang akan menyerap haba lebih besar.
Masalah ini ditambah dengan kurangnya tanaman pokok-pokok di dalam kawasan bandar dan menyebabkan kurang tempat berteduh dan kesan penyejukan pokok-pokok tersebut.
Haba yang terbuang hasil daripada penggunaan kenderaan, pendingin hawa dan industri secara umumnya juga menyumbang kepada peningkatan UHI.
Diharap dengan sedikit perkongsian yang dibuat ini dapat membantu korang untuk mengatasi masalah ruang dalaman rumah yang panas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan